peminat

Thursday 8 March 2012

ASAL NAMA NEGERI PERLIS



Sejarah mengenai asal-usul nama negeri Perlis adalah kurang jelas. Terdapat banyak kisah atau andaian yang menceritakan tentang asal-usul nama Perlis. Berikut merupakan beberapa andaian atau kisah yang diketahui:-
  • Menurut seorang tokoh sejarawan Malaysia iaitu Haji Buyong Adil, terdapat beberapa cerita yang mengisahkan kononnya nama Perlis itu berasal daripada perkataan Siam iaitu “Phrau Loi” (Maphrau Loi) yang bermaksud kelapa hanyut. Perkataan tersebut telah dipelat dan dipendekkan bunyinya oleh orang Melayu lalu menjadi ‘pereleh’ atau Perlis.
  • Sumber kedua menyatakan bahawa kononnya nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘peroleh’ yang membawa maksud kurnia daripada kerajaan Kedah. Perkataan itu disingkatkan lalu menjadi Perlis.
  • Sumber yang ketiga pula menyebut negeri Perlis mendapat namanya daripada nama sebuah kubur di Bukit Mengulang iaitu kubur Tok Perlis. Kubur tersebut adalah milik seorang tokoh ulama yang terkemuka di Nusantara iaitu Tok Perlis.
  • Sumber yang keempat mengatakan nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘perlus’. Kebanyakan tanah dalam di Perlis ialah tanah sawah. Pada musim kemarau, tanah sawah akan merekah. Sesiapa yang berjalan akan ‘terperlus’. Dari perkataan ‘perlus’ itulah, Perlis mendapat namanya.
  • Menurut sebuah buku yang tulis oleh Ahmad Ismail dan Yazid Mat, dipercayai bahawa nama negeri Perlis berasal daripada nama sejenis pokok yang dikenali sebagai pokok perlis. Pokok ini dahulunya tumbuh dengan begitu banyak di negeri tersebut, terutama sekali di kawasan pinggir sungai. Kini, pokok perlis ini telah pun pupus.
Meskipun terdapat banyak kisah atau andaian tentang asal-usul nama negeri Perlis, kebanyakan sejarawan percaya bahawa negeri Perlis dinamakan bersempena dengan nama pokok perlis.

No comments:

Post a Comment