peminat

Tuesday 13 March 2012

MAKANAN POPULAR PERLIS 


Sejenis makanan yang popular di kalangan masyarakat tani di negeri ini iaitu 'ringgi' dan 'emping' kini mula menjadi perhatian semua golongan apabila musim timur melanda Perlis.
Keenakan rasanya yang sedap ini hanya dapat dirasai setahun sekali sahaja iaitu pada musim timur atau kini sedang popular dengan sebutan 'winter wind' di kalangan penduduknya.
Bagi kebanyakan petani yang menanam benih padi pulut ini, masa sekarang adalah masa yang sesuai untuk membuat ringgi dan emping sementara menunggu padi di sawah masak atau menguning.
Menurut kebanyakan petani yang menanam dan membuatnya, tidak semua petani menanam benih padi ini memandangkan kepada kesukaran untuk menghasilkannya, tambahan jika tiada peralatan yang lengkap.
''Untuk menghasilkan rasanya yang sedap, cara buatan tradisional hendaklah dikekalkan iaitu memerlukan penggunaan lesung batang atau indik, '' kata Rokiah Ismail yang ditemui di Pesta Musim Timur Negeri Perlis baru-baru ini.
Menurutnya,ringgi dibuat sewaktu padi pulut masih hijau menggunakan lesung batang, manakala emping pula dibuat sewaktu padi tersebut telah menjadi sedikit kuning dengan menggunakan lesung tangan.
Minah Ahmad yang telah lama membuat ringgi berkata, kebiasaannnya emping dibuat setelah padi pulut tersebut tidak sempat dibuat ringgi atau terlebih tempoh akibat kesibukan petani ataupun padi itu terlalu banyak dan tenaga pembuatnya
sedikit.
Katanya untuk membuat ringgi atau emping yang telah diketam (dikerat) tangkainya memerlukan antara empat hingga enam orang. Selalunya terdiri daripada ahli keluarga atau jiran tetangga.
Ada yang ditugaskan untuk meleraikan padi tersebut daripada batangnya sebelum padi itu digoreng di dalam belanga (kuali) oleh yang lain.
Setelah padi tersebut berbunyi dan kekuningan, ia akan diangkat dari atas api untuk ditumbuk menggunakan lesung indik atau lesung tangan sebelum ditampi antahnya secara begilir.
Bagi golongan petani yang membuat makanan istimewa mereka ini, sudah menjadi tradisi dan budaya di kampung pak tani, ahli keluarga dan jiran tetanggaakan berkumpul untuk memeriahkan suasana sambil mewujudkan semangat kerjasama.
''Sudah menjadi kebiasaan kami apabila tiba musim untuk membuat ringgi atau emping, semua akan berkumpul dan sama-sama bekerja sambil menyiapkan hidangan tengah hari yang terdiri daripada masakan kampung sambil menunggu ringgi siap dibuat menjelang petang hari, '' kata mereka mesra.
Ringgi atau emping yang siap dibuat akan dimakan bersama isi kelapa yang sudah diparut dan juga gula sebelum ia dibahagikan untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.
Selalunya pembahagian dibuat menggunakan kaedah sukat secara lama atau tradisional iaitu menggunakan kepoi ataupun gantang. Jika padi yang diketam segantang, mungkin ringgi yang boleh dihasilkan iala hempat kepoi (secupak).
Jauh dari kesibukan kota, Indera Kayangan tetap gah dengan pembangunan dan pembaharuannya. Masa yang beredar pergi tidak pernah melupakan tentang tradisi, adat dan budaya. 





 


No comments:

Post a Comment